Tukarkan Pemikiran Negatif Menjadi Positif Melalui Positive Self-Talk


Orang yang kita nampak sentiasa positif itu tidaklah hidup dengan emosi positif setiap masa. Kadangkala mereka juga berperang dengan emosi negatif.

Cuma mereka ni pandai kawal supaya emosi tersebut tidak mengganggu kehidupan. Positif atau negatif sebenarnya kita yang pilih dan ia boleh dikawal.


Bagaimana caranya?

Pujuk diri dengan ayat-ayat yang positif untuk lawan balik pemikiran negatif yang langsung tidak membantu hidup kita. Mesti praktis berulang kali. Kalau sekali sahaja tak jadi.

Positive self-talk boleh digunakan untuk kesejahteraan mental, memotivasikan diri sendiri, mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, atau meningkatkan keyakinan dan harga diri.

Menukarkan pemikiran negatif dengan positive self-talk adalah praktis yang perlu dilakukan secara berterusan.

Hal ini penting supaya kehidupan kita tidak dikawal oleh pemikiran negatif yang akan merugikan diri sendiri.

Contoh boleh lihat pada ayat di bawah ya.

1. “Aku seorang yang gagal dan selalu memberi masalah,” tukarkan kepada “Aku telah melakukan kesilapan pada masa lalu, tetapi aku mampu untuk belajar dan memperbaiki diri. Aku boleh berjaya.”

2. “Aku tak cukup pandai untuk melakukan kerja ini,” tukarkan kepada “Aku mungkin tidak tahu banyak perkara buat masa sekarang, tetapi aku boleh belajar sehingga menjadi pandai dan cekap untuk buat semua ini.”

3. “Aku tidak akan dapat capai matlamat yang aku inginkan,” tukarkan kepada “Untuk mencapai matlamat, aku perlu berusaha bersungguh-sungguh dan ia mengambil masa. Dengan kesungguhan ini aku yakin bahawa aku mampu untuk mencapainya.”

4. “Aku tidak akan pernah menjadi sebaik orang lain,” tukarkan kepada “Aku seorang yang unik serta mempunyai kekuatan dan kualiti tersendiri. Aku tidak perlu membandingkan diri aku dengan orang lain. Aku adalah aku.”

5. “Aku sangat malas dan tidak bersemangat,” tukarkan kepada "Aku memiliki keupayaan untuk mencari motivasi dan mengambil tindakan. Aku akan bermula dengan mengambil langkah kecil dan kembali membina momentum."