MANIPULATOR, Nak Bagi Motivasi Biarlah Realistik


Dalam kita menulis atau menyampaikan nasihat atau motivasi biarlah realistik. Bukan semata-mata yang indah indah, harus buat itu harus buat ini untuk mendapatkan sesuatu.

Kalau tak ikut terus dilabelkan begitu dan begini, sedangkan banyak lagi cara lain untuk dapatkan.

Ada cadangan yang susah nak diikut bagi sesetengah orang, hingga orang itu rasa tertekan, rasa diri teruk dan tidak sempurna. Kononnya susah nak terima sebab hati berkeladak, sedangkan realitinya setiap orang tak sama situasinya.

Ini dipanggil proses memanipulasi supaya orang ikut cakap dan bergantung dengan dia, bertujuan untuk kepentingan diri sendiri.

Ingat ye kawan, orang begini adalah MANIPULATOR, bukan motivator, influencer, life coach, dan seumpamanya.


KEPADA MANIPULATOR…

Kalau kita sendiri dan juga anak-anak ditakdirkan dapat jodoh awal, tak perlu menghukum orang yang lambat berkahwin itu sebab ada perangai kurang baik.

Kalau kita mendapat suami yang baik dan sempurna, tak perlu menghukum wanita yang dapat suami jahat atau buruk adalah malang.

Kalau para ibu mengalami kesukaran ketika hamil dan bersalin, tak perlu menghukum kononnya sebab ada dosa dengan suami.

Kalau anak-anak kita semua menjadi, tak perlu menghukum anak-anak yang tidak menjadi sebab ada dosa ibu bapa yang Allah tak ampun.

Kalau anak-anak kita lahir sempurna tanpa ada kekurangan fizikal atau mental, tak perlu kata bahawa dosa ibu bapa adalah punca anak lahir dalam keadaan sedemikian.

Kalau kita dan anak-anak cemerlang dalam pelajaran, tak perlu menghukum orang yang kurang kepintaran akademik sebab malas belajar.

Kalau kita hidup senang lenang kaya raya dan tak pernah susah dari awal kehidupan, tak perlu menghukum orang yang hidup susah adalah jenis yang tak bersyukur, sebab tu rezeki susah nak masuk.

Kalau mata kita tak pernah bermasalah, tak perlu menghukum orang yang mempunyai masalah penglihatan sebab selalu tengok benda tak baik.

Kalau orang menentang kita sebab tak setuju dengan apa yang diperkatakan, tak perlu menghukum orang itu sebagai negatif dan busuk hati.


Image by Arek Socha from Pixabay

Tapi kalau kenal mereka yang suka menghukum ini di dunia realiti (bukan setakat kenal di media sosial), mereka ni cakap tak serupa bikin. Mana yang tahu tu tahu la.

Kata-kata sebegini akan menyebabkan orang yang ada masalah hidup semakin down, orang yang sedang mengalami masalah kesihatan mental akan semakin teruk sakitnya. Mereka mungkin akan menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku dalam hidup.


Berhenti menjadi malaikat. Berhenti mengira dosa pahala orang. Berhenti menjadi Mr/Mrs/Ms. Know Everything. Salah fakta atau ajaran boleh membawa kerosakan pada umum, terutamanya jika kita ada ramai pengikut.

Menulis atau berbicaralah dengan empati, iaitu meletakkan diri kita di tempat orang lain. Muhasabah diri dan sekali sekala kena tilik diri, jangan semua perkara nak salahkan orang lain. Kita manusia biasa, tidak sempurna.

Hebat macam mana pun kita, kaya dan ada followers beratus ribu atau berjuta, kena ingat bahawa kita tidak sentiasa betul dan tidak selamanya betul.