Bidang Psikologi Merawat Orang Gila


Bidang psikologi merawat orang gila?


Dulu, orang selalu tanya saya, “Awak ambil course apa di universiti?”

Saya jawab, “Ambil course psikologi.”

Kemudian, ada yang tanya lagi, “Jadi, awak nak kerja apa dengan course tu? Mesti kerja dengan orang gila kan?”


Inilah persepi yang sering saya hadapi sejak 2005, ketika saya baru mula tahun pertama dalam bidang psikologi. Sebut sahaja psikologi, orang terus kaitkan dengan merawat “orang gila.”

Sebenarnya istilah yang lebih tepat adalah “pesakit mental,” kerana orang yang mengalami masalah mental bukanlah gila, tetapi mereka memerlukan rawatan dan sokongan untuk mengatasi cabaran tersebut.

Sepanjang perjalanan saya bekerja dalam bidang psikologi sejak 2011, macam-macam soalan ditanya. Jadi, jawab sahajalah dengan tenang. Lagipun, orang bertanya sebab mereka tak tahu, dan kadangkala mereka memang ingin tahu.

Saya okay je kalau orang tanya, malah seronok dapat berkongsi dan bertukar ilmu. Biasalah, jiwa pendidik katanya, tak pernah padam sampai hari ini. Hehe!

_________________________________________________________________


Bidang psikologi bukan sekadar tentang kesihatan mental. Ia satu bidang yang sangat luas, yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai perspektif kehidupan, termasuk hubungan, pendidikan, pekerjaan, dan cara kita memahami diri sendiri.

Psikologi melibatkan kajian tentang tingkah laku, emosi, dan proses mental manusia secara saintifik.

Secara mudahnya, ia fokus kepada manusia, baik dari segi luaran mahupun dalaman. Ia memberikan gambaran lengkap tentang manusia.

Isu rumah tangga, suami isteri yang sering bergaduh, atau konflik dalam perhubungan, semuanya boleh dikaji dari perspektif psikologi.

Bos yang nak uruskan pekerja pun perlu memahami psikologi. Setiap pekerja ada ragam dan keperluan berbeza. Dengan memahami psikologi mereka, akan memberi kesan positif kepada prestasi dan pembangunan organisasi.

Begitu juga dengan usahawan. Dalam berurusan dengan pelanggan, ada nilai besar dalam memahami psikologi mereka. Ilmu asas pun dah cukup membantu, dan kalau tahu lebih, lagi bagus!


Kenapa psikologi itu penting?

Nampak tak betapa pentingnya bidang psikologi ni, terutamanya pada zaman sekarang? Lihat sahaja keadaan masyarakat kita. Ramai yang menghadapi pelbagai jenis masalah dan konflik kehidupan, tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya kerana masalah tersebut kurang difahami.

Akibatnya, timbul isu seperti masalah sosial dalam kalangan remaja, penagihan dadah, amuk, bunuh diri, kemurungan, masalah dalam bisnes atau pekerjaan, dan pelbagai isu lain yang menimpa manusia.

Penting untuk kita belajar dan memahami psikologi kerana ia membantu:

1. Memahami diri sendiri dengan lebih baik

2. Memahami orang lain

3. Membina hubungan yang lebih baik

4. Membantu menguruskan stress dan emosi

5. Meningkatkan produktiviti dan fokus

6. Membuat keputusan dengan lebih bijak

7. Membantu kesihatan mental

8. Aplikasi psikologi dalam kehidupan harian

9. Meningkatkan kemahiran parenting

10. Membentuk perspektif yang lebih terbuka


Psikologi: Lebih dari sekadar kesihatan mental

Sebenarnya, bidang psikologi ini bukan hanya tentang belajar dan bekerja dalam bidang kesihatan mental. Ia adalah satu bidang yang sangat luas, selagi ia berkaitan dengan tingkah laku.

Bukan hanya tingkah laku manusia yang dikaji, malah tingkah laku haiwan pun ada dalam kajian ini. Tapi saya tak belajar tentang tingkah laku haiwan, jadi jangan tanya ya!

Saya memilih bidang psikologi kerana rasa ingin tahu yang tinggi tentang manusia. Jadi, kalau orang tanya kenapa ambil bidang psikologi, atau nak kerja apa?

Jawapan saya mudah, saya pilih untuk mendalami ilmu ini untuk kegunaan diri sendiri dan orang lain. Saya boleh gunakan ilmu tersebut ke arah kebaikan.

Jenis pekerjaan itu nombor dua, yang lebih utama adalah ilmu yang boleh dipraktikkan sepanjang hayat.

Alhamdulillah, saya dapat bekerja dalam bidang psikologi. Walaupun sekarang saya sudah meletakkan jawatan dan bekerja sendiri, saya masih meneruskan pencarian ilmu dan pembacaan dalam bidang psikologi. Ilmu ini sangat berharga dan tidak pernah habis.

_________________________________________________________________

Tulisan ini pertama kali diterbitkan pada 18 Oktober 2022 dan telah dikemas kini pada 10 Disember 2024.