Dengar dan Terima Tanpa Menghukum


Kadangkala ada yang memilih untuk memendam berbanding meluahkan, kerana bimbang ia makin menyakitkan.

Jika ada yang datang kepada kita untuk meluahkan perasaan atau emosinya, dengarlah tanpa menghukum walaupun ianya berbeza dari apa yang kita rasa.

Sebabnya setiap orang mempunyai hak ke atas perasaan mereka sendiri. Jangan memandang rendah atau memalukan orang lain disebabkan emosi yang mereka alami pada waktu itu, sama ada mereka tengah down, kecewa atau sedih.


Contohnya kawan kita tengah down sebab bisnes, atau kecewa dalam perhubungan, atau sedih sebab hilang sesuatu yang dia sayang.

Jangan la pula tiba-tiba kita cakap, “hek elehhh rileks la, aku dulu pun pernah alami lagi teruk dari apa yang kau alami sekarang tapi okay je.”

Sekejap sekejap! Cerita sekarang ni adalah tentang dia, bukan pasal awak, bukan pasal orang lain. Tak sama!


Di sini penting untuk kita tahu bahawa setiap orang mempunyai cara dan keupayaan yang berbeza dengan kita dalam berhadapan dengan sesuatu masalah. Tahap ketahanan mental, fizikal dan emosi kita semua tak sama. Jadi berhenti menghukum.

Jika kita rasa masalah itu kecil bagi kita, tak semestinya kecil juga pada orang lain. Jika kita mampu hadap masalah tersebut dengan mudah, tak semestinya mudah juga bagi orang lain. Semua ini adalah disebabkan beberapa faktor. Okay lain kali kita cerita pasal ni.

Bukan apa la kan, ada sesetengah orang bila ada yang mengadu masalah atau meluah perasaan, dia pun mula la cakap macam ni. “Aku dulu pun pernah rasa apa yang kau rasa, tapi aku okay je, aku rileks je, aku tak sedih pun.” 

Atau… “Alahhh semua orang pun ada masalah bukan kau sorang je!”


Saya teringat ada seorang isteri meluahkan rasa penat dengan urusan rumah tangga dengan keadaan suaminya yang tak membantu langsung. Ada yang komen, “Saya ni lagi la anak ramai, kita nak masuk syurga kena la hadap dan redha.” Sedangkan orang tu dah tahap burnout, meluah sekadar untuk melegakan perasaan, dan dia bukannya nak masuk neraka pun.


Kena ingat cara kita dan orang lain berhadapan dengan masalah tidak sama. Ya saya ulang lagi sekali, tak sama. Sebab tahap kekuatan mental, persekitaran, sokongan sosial, tahap ekonomi, dan pemikiran setiap orang adalah berbeza.

Jika mampu, kita boleh memberikan cadangan atau nasihat yang membina. Jika tak tahu nak cakap apa, kita boleh berikan sokongan emosi, contohnya dengan hanya menjadi pendengar yang baik.

Jika sebaliknya adalah lebih baik kita diam dari memberikan nasihat yang tidak perlu, yang boleh membuatkan orang sakit hati atau bertambah sedih.

                                                     Image by Pixaline from Pixabay