Dua Jenis Tingkah Laku Manusia Dalam Kajian Psikologi


Psikologi membahagikan tingkah laku manusia kepada dua jenis utama. Tapi yang menarik, kedua-duanya saling berkait!

______________________________________________________________________________________________________

Manusia adalah makhluk yang kompleks, dengan pelbagai cara bertindak dan berinteraksi dengan dunia di sekelilingnya. Setiap tindakan, perasaan, dan pemikiran manusia mempunyai alasan dan proses tertentu yang berbeza-beza antara individu.

Manusia juga secara semula jadi mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, bukan hanya terhadap diri sendiri, tetapi juga terhadap tingkah laku dan pemikiran orang lain. Kita semua ingin memahami mengapa kita berperasaan atau bertindak dengan cara tertentu. Betul, kan?

Semua jawapan kepada persoalan tentang tingkah laku, emosi, dan proses mental manusia boleh ditemui dalam bidang psikologi.

Psikologi adalah disiplin ilmu yang menyelidik dan menganalisis tingkah laku manusia secara saintifik. Kajian yang dilakukan bertujuan untuk memahami lebih lanjut tentang bagaimana kita bertindak, berfikir, dan memproses perasaan.

Selain itu, kajian juga dilakukan untuk memahami bagaimana faktor-faktor persekitaran, biologi, sosial, dan pengalaman hidup membentuk tingkah laku kita.




Dalam psikologi, tingkah laku manusia dibahagikan kepada dua kategori utama: overt behaviour dan covert behaviour.

1. Overt Behaviour

Overt behaviour merujuk kepada tingkah laku yang boleh dilihat, didengar, dan diperhatikan secara langsung oleh orang lain. Ia merujuk kepada perbuatan seperti bercakap, berjalan, memukul, ketawa, atau menulis.

Semua tingkah laku ini adalah sesuatu yang dapat diperhatikan dan diukur dengan jelas. Misalnya, apabila seseorang berjalan di taman, perbuatan tersebut jelas kelihatan oleh orang di sekelilingnya. Overt behaviour ini sering digunakan dalam eksperimen psikologi kerana ia mudah dikawal dan direkodkan.

Overt behaviour ini tidak hanya terbatas kepada tingkah laku fizikal. Ia juga termasuk tingkah laku sosial, seperti cara kita berinteraksi dalam perbualan atau cara kita bertindak balas dalam situasi tertentu. Sebagai contoh, tingkah laku yang ditunjukkan semasa seseorang sedang marah, gembira, atau kecewa juga adalah bentuk overt behaviour kerana reaksi tersebut dapat dilihat melalui ekspresi wajah, bahasa tubuh, atau tindakan tertentu.


2. Covert Behaviour

Sebaliknya, covert behaviour merujuk kepada proses mental yang berlaku dalam diri seseorang yang tidak dapat dilihat secara langsung. Ini termasuklah aktiviti mental seperti berfikir, mengingat, berimaginasi, merasai emosi, atau mengalami mimpi.

Contohnya, apabila seseorang itu sedang berfikir tentang masalah yang dihadapinya, atau ketika mereka berimaginasi tentang sesuatu yang belum berlaku, perbuatan ini tidak kelihatan secara fizikal oleh orang lain.

Begitu juga dengan perasaan marah, kebimbangan, atau rasa kecewa yang timbul dalam diri seseorang, ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat secara fizikal, tetapi ia boleh mempengaruhi cara seseorang bertindak, memberi respon, atau berinteraksi dengan orang lain.

Walaupun ia tidak dapat diperhatikan secara langsung, kajian terhadap covert behaviour ini sangat penting kerana ia membantu untuk memahami cara otak manusia berfungsi dan bagaimana kita memproses maklumat serta emosi.

_____________________________________________________________________________________________________

Jadi, apa yang kita dapat lihat ialah kedua-dua jenis tingkah laku ini saling berkait. Contohnya, emosi dalaman seperti rasa gembira (covert behavior) sering diterjemahkan melalui senyuman atau gelak tawa (overt behavior). Sebaliknya, tindakan luaran juga boleh mempengaruhi apa yang kita rasa di dalam, contohnya, senyum secara paksa boleh membuatkan emosi kita merasa lebih baik pada waktu itu.

Inilah sebabnya kajian psikologi sangat penting, ia membantu kita memahami hubungan antara apa yang kita rasa dan apa yang kita tunjukkan kepada dunia. 

Kesimpulannya, psikologi adalah bidang yang sangat luas dan mengkaji semua aspek tingkah laku manusia. Dari A hingga Z, ia meliputi pelbagai topik seperti kecerdasan, personaliti, tekanan, kesihatan mental, terapi, persepsi, memori, perkembangan manusia, bisnes, motivasi, keselamatan, pembangunan organisasi, dan banyak lagi.

Dengan mempelajari psikologi, kita dapat memahami dengan lebih mendalam tentang diri kita dan orang lain, serta mencari cara untuk memperbaiki kesejahteraan mental dan emosi.

______________________________________________________________________________________________________

Mempelajari kedua-dua jenis tingkah laku ini bukan sahaja memberi kita pengetahuan tentang diri sendiri, tetapi juga dapat memberi manfaat dalam kehidupan seharian. Jadi bagaimana kita nak terapkan pengetahuan psikologi ini dalam kehidupan seharian? Saya akan sambung dalam posting seterusnya okay!

______________________________________________________________________________________________________

Tulisan ini pertama kali diterbitkan pada 20 Jun 2021 dan telah dikemas kini pada 10 Disember 2024.