Kesihatan mental kanak-kanak adalah tanggungjawab ibu bapa atau penjaga.
Ketika bekerja sebagai pendidik, aku suka bersembang dengan students secara personal, terutamanya bila kita tengok mereka lain macam. Aku ni pulak jenis suka memerhati.
Ada yang kena dera mental sejak kecil. Ada yang kurang kasih sayang dari ibu bapa, keluarga atau penjaga. Ada yang diabaikan dari kecil, ditinggalkan kepada nenek, dan tak pernah ambil tahu sampai ke besar.
Tapi mereka tak ada pilihan. Terpaksa hadap semua itu dalam usia yang belum matang.
Ada sesetengah orang anggap benda macam ni tak ada apa pun. Hakikatnya ia membawa kesan besar pada kesihatan mental budak tu. Pengalaman pahit alam kanak-kanak akan membawa sampai ke besar. Mungkin parutnya kekal sampai ke tua.
Aku mungkin hanya tahu menulis dan menyelami tentang masalah mental. Realitinya hanya mereka yang mengalami sahaja tahu macam mana dalamnya luka tersebut.
Menjaga kesihatan mental penting untuk semua peringkat kehidupan, bermula dari usia kanak-kanak, remaja, sehingga dewasa. Kalau peringkat bayi dan kanak-kanak, menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk menjaganya.
Masa mengajar topik perkembangan emosi dan mental manusia, aku selalu ingatkan students. Bilangan anak bukan untuk dibanggakan, ia datang dengan amanah yang sangat besar. Nak jadi mak ayah kena ada ilmu, bukan tahu buat anak je.