Cuba untuk menggembirakan hati semua orang adalah resepi kepada tekanan, mudah berkecil hati, dan kecewa. Jadi diri sendiri dan fokus kepada tujuan hidup kita. Pegang kepada prinsip hidup sendiri.
Kenapa? Supaya kita boleh mengemudi hidup kita tanpa mudah dipengaruhi oleh sesiapa.
Contoh, kita jual makanan. Lepas tu terbaca ada orang share tak baik tayang makanan nanti buat orang terliur. Kita tersentap terus berhenti buat marketing. Sedangkan yang bercakap tu gula-gula seposen pun tak pernah jual.
Haaa yang ruginya kita. Dia apa kisah, tak berniaga pun tak apa sebab memang laki dia dok bagi banyak duit setiap bulan. Kita yang tak berapa nak hado ni tak boleh la nak pegang pendirian yang sama macam dia.
Bila tak ada prinsip hidup kita mudah terikut apa orang kata, mudah dikawal oleh pendapat orang lain. Orang ini cakap kita tak boleh begini, maka kita pun “aah ye la betul tu”, lepas tu ikut.
Datang pulak orang seterusnya dan memberikan pendapat yang berbeza, maka kita pun “aah ye la betul juga tu”, pun sama juga sekali lagi kita ikut.
Akhir sekali kita akan ‘hilang diri’ macam gitu sahaja. Orang yang mempengaruhi kita tadi tak akan bertanggungjawab atas keputusan kita. Inilah antara punca kenapa manusia jadi serabut, tapi dia tak tahu dia serabut sebab apa.
Love yourself - that is your greatest responsibility. Jaga diri dan jaga kesihatan mental kita. Jadilah orang yang berani membuat keputusan sendiri sebab ini hidup kita. Baik atau tidak hasilnya, yang hadap segalanya adalah diri kita juga.