Resipi Cucur Bilis Rangup Di Luar Lembut Di Dalam


Nak keluar pergi beli pisang goreng, gerai semua tutup sekarang ni. Marilah kita pakat masak makanan legend turun temurun iaitu cucur bilis rangup di luar lembut di dalam. Korang pun boleh buat untuk minum petang nanti. 


Okay tips masa menggoreng, jangan asyik balik sana balik sini cucur dalam kuali tu. Kalau dah masukkan adunan dalam minyak panas, biarkan je. Nanti dah masak bahagian bawah baru balikkan. Kalau tak nanti cucur akan jadi terlalu berminyak.


BAHAN-BAHAN

3 cawan tepung gandum

2 1/2 cawan air atau secukupnya

1 biji bawang besar Holland (dihiris atau potong dadu)

2 biji cili (dihiris)

1 genggam ikan bilis (bersihkan dan toskan)

1 biji telur

1 sudu teh soda bikarbonat

Sedikit garam


CARA MEMASAK

1. Campurkan semua bahan-bahan kecuali air dan telur. Gaul bagi rata dulu bahan-bahan tu dalam satu bekas.

2. Masukkan telur dan air sedikit demi sedikit. Jangan pergi humban semua sekaligus pulak. Masuk sikit, kacau, masuk sikit, kacau. Haaa gitu la sampai air tu habis. Kacau adunan sampai sebati dan rehatkan sekejap dalam setengah jam macam tu.

3. Lepas tu panaskan minyak dalam kuali. Ambil adunan cucur tu guna sudu dan masukkan ke dalam minyak panas. Nak guna scoop pun boleh. Suka hatilah, jangan guna senduk kenduri dah la, besar sangat tu.

4. Cingggg…goreng sampai kekuningan atau gelap sikit. Gelap sikit je tau jangan gelap banyak, itu hangit namanya. Cucur ni cepat masak jadi korang jangan sibuk nak main fesbuk ke instagram ke haha.

5. Bila dah masak, angkat dan toskan minyak. Boleh dimakan dengan sos cili atau sambal kicap. 

6. Okay siap! Selamat mencucur dengan gembiranya.


P/S: Kalau nak tambah sayur kangkong, cili, atau kucai ikut suka hati. Resipi asasnya sama sahaja.


Bahan-bahan kering


Beginilah adunannya setelah ditambah telur dan air


Cingggg goreng dalam minyak panas


Jom makannn! Yang hitam tu sambal kicap.