Cadangan Untuk Mereka Yang Ada Panic Attack Ketika COVID-19


Sejak berlakunya gelombang kedua COVID-19, boleh katakan setiap hari saya baca status tentang orang yang mengalami panic attack. Panic attack berada di bawah anxiety disorder (kecelaruan kebimbangan). 


Anxiety disorder sebenarnya adalah berkaitan dengan ketakutan dan kebimbangan yang melampau sehingga menganggu kehidupan harian seseorang.


Ketakutan - tindak balas emosi terhadap ancaman yang sebenar atau yang dirasakan pada ketika itu.

Kebimbangan - jangkaan kepada ancaman yang akan datang, walaupun tak pasti perkara itu akan berlaku atau tidak. 


Okay nampak tak kenapa kita tak boleh sebarkan berita yang tak pasti? Orang yang ada serangan panik dia tak fikir dah berita tu benar atau palsu. Dia terus bimbang, gementar, berpeluh, dan mula fikir yang bukan bukan. 


Dia sedang ketakutan, ditambah lagi bila membaca pelbagai berita yang ditokok tambah, akan menambahkan lagi kebimbangannya.


Sekarang dah tahu kan kenapa saya asyik membebel pasal isu panik masa awal PKP baru-baru ni. Sebab ada golongan yang berlebihan dalam menulis tentang wabak COVID-19. Orang yang tak ada anxiety pun boleh jadi panic. Memang saya marah haha.


Ini cadangan untuk mereka yang ada panic attack supaya terus bertenang:


1. Baca info atau berita dari sumber yang boleh dipercayai sahaja, seperti Kementerian Kesihatan Malaysia.

2. Hadkan kekerapan menyemak info terkini. Berterusan melihat berita dan info di media boleh menjadikan kita tidak produktif, dan mudah diserang anxiety.

3. Jauhkan diri dari media sosial jika anda mula merasa tidak selesa dan risau.

4. Jika kita perlu menjauhkan diri sepenuhnya dari media, kita boleh minta seseorang yang boleh dipercayai untuk berkongsi berita terkini.

5. Berhati-hati dengan apa yang anda kongsikan. Pastikan maklumat itu adalah sahih sebelum disebarkan. Jangan disebabkan kita panik, kita menjadikan orang lain turut sama panik.