Dua hari lepas pergi lepak di kedai mamak. Lepas tu nampak pulak kari ikan. Hurmmm sedapnya. Saya ni pantang terliur, terus rasa nak makan haha.
Ikan tenggiri memang dah ada kat rumah, jadi senang aje lah. Lagipun puas hati masak sendiri. Ikut selera kita nak masak macam mana. Saya tak suka sangat masakan kari yang terlalu berempah, suka yang biasa-biasa saja. Okay jom tengok resipi kari ikan tenggiri mudah dan ringkas.
BAHAN-BAHAN A
• 6 potong ikan tenggiri (bersihkan dan toskan airnya)
• 3 cawan air
• 1 sudu makan asam jawa (bancuh dengan 1/2 cawan air)
• 1 kotak kecil santan
• 1/2 cawan minyak masak
• Garam secukup rasa
BAHAN-BAHAN B (UNTUK DITUMIS)
• 1 batang kulit kayu manis
• 2 tangkai daun kari
• 4 biji bawang merah (dihiris)
• 4 biji bawang putih (dihiris)
• 1 sudu teh halba
• 1 paket kecil serbuk kari ikan
• 2 biji bawang merah (ditumbuk)
• 1 inci halia (ditumbuk)
• 1 sudu makan cili giling
CARA MEMASAK
1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumiskan halba, kulit kayu manis, hirisan bawang merah, hirisan bawang putih, dan daun kari. Tumis sehingga wangi dan kekuningan.
2. Bancuhkan serbuk kari ikan, bawang merah dan halia yang ditumbuk, serta cili giling bersama sedikit air. Kemudian tumis sehingga pecah minyak dengan menggunakan api kecil. Kari akan jadi lebih sedap apabila tumisan pes kari betul-betul masak.
3. Masukkan 3 cawan air, bancuhan asam jawa, dan ikan. Biarkan masak selama lebih kurang 10 minit dengan menggunakan api sederhana.
4. Masukkan santan dan garam secukup rasa. Kecilkan api dan biarkan masak lebih kurang 20 minit. Kacau secara perlahan. Dannn sedia untuk dihidangkan.
Okay siap. Selamat mencuba!
P/S: Nak masukkan tomato, bendi, terung atau apa sahaja sayur yang sesuai, terpulang ikut selera masing-masing. Boleh masukkan selepas masukkan santan.
Ikan tenggiri. Nak guna ikan apa pun tak kisah. Ikut selera masing-masing.
Bahan-bahan untuk ditumis
Nahhh campak dia dalam minyak panas. Tumis sampai wangi dan kekuningan.
Ini pun untuk ditumis juga. Campuran rempah kari ikan, bawang merah, halia dan cili giling.
Okay tumis saaaampai pecah minyak. Kari akan jadi sedap kalau rempah tu masak elok, bukan masak manja manja.
Campak yang ini pulak dalam kuali. Sila rujuk resepi di atas, malas nak ulang taip. Tiber malas!
Lepas tu masukkan santan dan garam secukup rasa. Kemudian letak cili hijau dengan tomato. Sebenarnya suka hati masing-masing nak letak apa. Kalau suka bendi boleh letak bendi.